Mak Yong dipercayai diasaskan di kerajaan Patani di Thailand sejak lebih kurang 800 tahun terdahulu atau mungkin lebih tetapi hanya mula berkembang di Kelantan lebih kurang dalam masa 200 tahun dulu. Melalui Kelantan, ia kemudiannya tersebar ke negeri-negeri lain dalam Tanah Melayu. Menurut lagenda, Mak Yong tercipta melalui kisah semangat padi Mak Hiang dan tarian pemujaan sebagai mensyukuri hasil tuaian padi yang diperolehi. Tetapi terdapat juga kepercayaan yang mengatakan ia dicipta oleh sejenis makhluk yang dipanggil Semar. Walaupun begitu, tujuan asal kewujudannya masih tidak dapat ditentukan oleh para sejarahwan samada ia wujud sebagai persembahan istana ataupun sebagai teater hiburan untuk rakyat semata-mata. Di Kelantan, Mak Yong dipersembahkan sebagai teater istana pada asalnya sehinggalah abad ke-20 ia kemudiannya dibawa keluar dari istana untuk dipersembahkan secara komersial kepada rakyat jelata setelah pengambilalihan pentadbiran Kelantan oleh British.
Kewujudan bangsawan atau Opera Melayu pula ialah hasil daripada pengaruh kemasukan Wayang Parsi, sebuah bentuk hiburan teater yang berasal dari India dan juga kerana kemasukan filem-filem senyap dan teater yang sangat banyak dari negara-negara barat, Cina dan India. Maka orang-orang Melayu di Tanah Melayu turut ingin mempunyai bentuk hiburan milik mereka sendiri. Bangsawan mula wujud dan berkembang sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Pada waktu tersebut, bandar-bandar di semenanjung Tanah Melayu telah berkembang kerana perubahan yang dibawa oleh pihak British. Wayang Parsi dipersembahkan dalam bahasa Hindi, namun apabila orang-orang melayu meniru elemen-elemen yang terdapat dalam persembahan Wayang Parsi maka terciptalah Teater Bangsawan atau Opera Melayu. Tetapi Bangsawan tidak sama dengan teater klasik atau rakyat kerana Bangsawan mempunyai nilai komersial. Ia menggabungkan unsur lakonan, nyanyian dan tarian sekaligus.
Setiap persembahan Mak Yong dipersembahkan dengan susunan yang sama setiap kali, ia adalah suatu turutan persembahan atau jalan cerita dan panduan persembahan. Berikut adalah bahagian-bahagiannya;
a) Acara buka panggung – ialah dimana semua peralatan dibacakan mentera dan dimainkan oleh Tok Bomoh. Ianya berunsur spiritual kerana mereka mempercayai setiap alat muzik mempunyai penunggu masing-masing dan ianya harus diberikan ‘makanan’ supaya apabila alat muzik dipalu atau dibunyikan ia akan mengeluarkan bunyi yang enak didengar.
b) Lagu Bertabuh – ialah lagu-lagu yang dimainkan tanpa nyanyian.
c) Menghadap Rebab - ialah dimana semua pemain atau pelakon Mak Yong akan mengambil tempat di hadapan alat muzik rebab sebagai tanda hormat dan menyanyi serta menari sambil duduk, melutut, bertinggung, berdiri dan berjalan. Lagu ini mengambil masa dalam 10 hingga ke 15 minit untuk disempurnakan.
d) Sedayung Pak Yong – dinyanyikan oleh Pak Yong.
e) Sedayung Mak Yong – dinyanyikan oleh Mak Yong.
f) Ziarah bilik pengasuh (Sedayung Panggil Awang) – Raja akan memanggil pengasuhnya (awang) untuk masuk menghadap.
g) Lagu Berkhabar – dinyanyikan oleh Raja dan pengasuhnya.
h) Ela (Ello) atau Wok – lagu yang dinyanyikan bertujuan untuk menyampaikan berita.
i) Lagu dan cerita yang ingin dipersembahkan. Terdapat lebih 50 buah lagu asal Mak Yong dan 30 buah cerita yang disampaikan secara lisan dari generasi ke generasi seterusnya. Namun kini hanya tinggal 12 buah cerita sahaja yang sering dipentaskan termasuklah Dewa Muda, Bongsu Sakti, Gading Bertimang, Raja Tangkai Hati, Dewa Pecil, Raja Muda, dan Endeng Tajeli (Anak Raja Gondang, Batak Raja Gondang, Bongsu Sakti)
j) Tutup panggung.
Persembahan Mak Yong bergerak dalam bulatan. Sebagai contoh, perjalanan yang jauh digambarkan dengan pergerakan pelakon secara berpusing dalam bulatan yang besar dengan diiringi oleh paluan alat muzik.
Teater bangsawan mempunyai dua bahagian iaitu bahagian cerita dan bahagian selingan (extra-turn) dimana pada ketika ini tirai bahagian hadapan pentas akan dilabuhkan dan korus (kumpulan penghibur) akan menari atau menyanyi atau kedua-duanya untuk menghiburkan para penonton, sementara di sebalik tirai, para kru belakang tabir kumpulan bangsawan tersebut akan menukar set pentas. Sebuah persembahan bangsawan boleh diisi dengan sebuah atau lebih cerita pada satu-satu masa. Sekiranya hanya sebuah cerita yang dimainkan, maka fungsi ‘extra-turn’ ialah untuk membezakan setiap babak. Salah satu kekaguman yang terdapat dalam Teater Bangsawan ini ialah set yang bersaiz besar, kerana itulah masa ‘extra-turn’ diperlukan.
Kumpulan-kumpulan bangsawan seperti Dean’s Opera, Nooran Opera, Wayang Yap Chow Thong, Pushi Indera Bangsawan dan Wayang Kassim mempersembahkan cerita-cerita pelbagai budaya untuk menarik golongan penonton yang pelbagai sebagai contoh unsur-unsur budaya Melayu, India dan Cina dimasukkan dalam cerita untuk mewujudkan kelainan dan lebih hiburan. Selain itu set pentas dan ‘backdrop’ yang besar dan mengagumkan menambahkan lagi tarikan teater ini. Bahagian ‘extra-turn’ turut dipelbagaikan persembahannya seperti tarian tango, rumba, waltz, lagu asli, inang, joget dan zapin mengikut selera pengarahnya. Antara cerita yang popular adalah Laksamana Bentan (Melayu), Laila Majnun (Arab), Sam Pek Eng Tai (Cina), Puteri Bakawali (Hindustan), dan Hamlet (Barat/Klasik). Dalam Teater Bangsawan, semua aspek sangat dititikberatkan kerana nilai komersial yang cuba di tonjolkan. Kerana itulah kostum, solekan, props dan set pentas serta penataan cahaya turut diberikan perhatian seperti bahagian-bahagian lain. Pada kebiasaannya, persembahan Bangsawan dimulakan dengan seorang pelawak yang bertindak sebagai pengacara, mengambil perhatian para penonton dengan dentingan loceng tangan dan memberitahu bahawa persembahan sudah bermula. Ini bermaksud sekiranya para penonton masih belum mengambil tempat, maka harus segera mencari tempat duduk.
Terdapat dua jenis lagu yang dimainkan dalam setiap persembahan Mak Yong iaitu lagu-lagu paluan dan lagu-lagu nyanyian. Antara lagu paluan yang masih dimainkan adalah seperti Pak Yong Turun (lagu yang mengiringi para pelakon ke atas panggung pada permulaan persembahan), lagu Barat (mengiringi perjalanan dalam cerita), dan Sang atau Penyudah (untuk mengakhiri persembahan). Manakala lagu-lagu untuk nyanyian yang masih sering dimainkan ialah Menghadap Rebab (wajib untuk setiap persembahan), Ela atau Ello (dinyanyikan untuk menyampaikan berita), Mengulit Raja Nak Tidur (dimainkan untuk masa tidur atau untuk membangkitkan rasa yang halus), Jembar atau Mengambul (menggambarkan perasaan yang sedih), Timang Welu dan Kijang Emas (aktiviti berjalan) dan Sedayung Pak Yong (dikaitkan dengan kuasa luar biasa). Alat-alat muzik dalam ensembel Mak Yong ialah terdiri daripada alat-alat Idiofon seperti tetawak, membranofon iaitu gendang dan kardofon adalah alat yang paling wajib sekali ada iaitu Rebab.
Repertoire Bangsawan berbeza daripada koleksi teater tradisional yang menggunakan repertoire yang sama berulang – ulang. Kerana repertoire Bangsawan akan sering digubah mengikut kesesuaian situasi, cerita dan mood teater tersebut. Sebagai contoh, ketika lagu cakap, rentak dan tempo yang digunakan ialah seperti waltz, masri atau inang dimana temponya ialah pantas. Sekiranya lagu nasib, lagu seperti foxtrot, dan lagu asli dimainkan. Antara contoh-contoh lagu yang biasa digunakan ialah lagu Donau Walen (lagu cepat berentak Waltz), Penceraian Jula Juli dengan Sultan (lagu nasib berentak waltz perlahan), dan Che Wan Gayah (lagu taman).
Terdapat tiga jenis kombinasi instrumental dalam teater Bangsawan, Orkestra Melayu (cerita klasik dan cerita timur tengah), ensemble seperti ensemble tarian ronggeng (cerita Melayu dan Jawa), dan harmonium dan tabla (cerita hindustan). Orkestra Melayu meniru orkestra dari barat dimana alat-alat muziknya terdiri daripada biola, trompet, trombon, saksofon, flut, klarinet, piano, gitar, bes, dram, marakas, blok kayu dan tamborin. Ensemble yang menyerupai ensemble tarian ronggeng terdiri daripada biola, akordion, rebana dan gong. Kadangkala akordion diganti dengan piano, rebana dengan dram barat dan gong dengan bes. Ensemble ini juga boleh dibesarkan lagi dengan menambah alat muzik lain atau menambah bilangan alat muzik sedia ada.
No comments:
Post a Comment