Wednesday, October 13, 2010

Wayang Kulit Kelantan & Wayang Kulit Gedek...Beza dari segi persembahan?

Semua jenis wayang kulit di Malaysia dipersembahkan dengan cara yang sama iaitu dengan menggunakan prinsip cahaya dan bayang. Namun, setiap jenis wayang kulit tersebut mempunyai sejarah, latar belakang dan menggunakan isi cerita, patung-patung serta bahasa yang berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh, perbezaan antara Wayang kulit Kelantan dan Wayang kulit Gedek melalui aspek persembahan ialah sejarah dan latar belakang, penggunaan bahasa, isi cerita, peranan dalang, alat muzik dan ukiran hiasan patung-patungnya.

Wayang kulit Kelantan pada asalnya dikenali sebagai Wayang Kulit Siam kerana pemerintah negeri Kelantan pada ketika itu berasal dari Patani, Siam. Namun begitu, terdapat juga pendapat yang berbeza dimana wayang kulit ini sebenarnya berasal dari Kemboja tetapi dibawa masuk ke Kelantan melalui Patani dan tersebar luas di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Melalui namanya, sudah tentulah wayang kulit Kelantan dipersembahkan menggunakan bahasa melayu dialek Kelantan dengan mempamerkan pengaruh Patani. Wayang kulit Gedek pula dipercayai berasal dari sejenis wayang kulit siam yang dikenali sebagai Nang Talung kerana itulah patung serta alat muziknya mahupun paluannya mirip Siam. Nang Talung ialah sejenis wayang kulit yang berasal dari selatan Thailand, Pattalung. Kerana itulah wayang kulit tersebut dinamakan Nang (teater) Talung (singkatan untuk nama tempat tersebut, Pattalung). Di Malaysia ia dimainkan oleh orang Melayu dan juga Siam tempatan. Wayang Kulit Gedek ini tersebar luas di bahagian Utara Pantai Barat Malaysia terutamanya di Kedah dan Perlis, secara automatisnya persembahan wayang kulit ini pastinya menggunakan bahasa Melayu dialek Kedah sebagai bahasa pengantar dan kadangkala dalam loghat Siam juga pada sesetengah tempat.

Wayang kulit Kelantan sinonim dengan cerita-cerita epik Ramayana tradisi India, Hikayat Seri Rama. Dipercayai cerita ini sampai ke Malaysia melalui pedagang-pedagang Jawa yang datang ke Malaysia dengan membawa wayang kulit mereka. Walau bagaimanapun, terdapat banyak perubahan yang dibuat dalam epik Ramayana versi Melayu kerana tradisi tempatan dan politik setempat. Kewujudan Islam turut mempengaruhi perubahan tersebut. Berbanding di Thailand, persembahan epik Ramayana di Malaysia lebih kepada untuk tujuan persembahan dan hiburan dan bukannya untuk perubatan atau berunsurkan spiritual. Sementara itu, wayang kulit Gedek pula dipengaruhi oleh cerita daripada Nang Talung yang mana ia banyak mempersembahkan kisah-kisah mengenai ketuhanan dan orang kebanyakan melalui cerita cinta, peristiwa semasa dan tradisi. Melalui wayang kulit Gedek, pengubahsuaian seperti penerapan unsur-unsur setempat dan selitan babak-babak cerita yang terkenal pada masa kini dibuat.

Semua dalang dalam setiap jenis wayang kulit biasanya dibantu oleh 2 orang yang dipanggil pengantin kecuali dalam wayang kulit Gedek. Wayang kulit Kelantan dan wayang kulit Gedek biasanya diiringi oleh satu kumpulan muzik yang terdiri daripada alat muzik paluan (idiofon) dan sebatang serunai. Bezanya ialah pada alat muzik yang digunakan dalam wayang kulit Gedek yang lebih bercirikan pengaruh negara Thai. Walau bagaimanapun, ia mempunyai fungsi yang sama dengan alat-alat muzik yang digunakan dalam wayang kulit jenis lain. Sebagai contoh, klong that yang menyerupai geduk, thon yang menyerupai gedumbak serta Ching, simbal kecil. Manakala dalam wayang kulit Kelantan pula dalang diiringi oleh kumpulan okestra yang memainkan lebih banyak alat muzik, iaitu dua tetawak, dua canang, dua kesi, dua gedumbak, dua gendang, dua geduk, dua serunai dan tetawak.

Ukiran dan hiasan patung-patung wayang (shadow puppet) dalam wayang kulit Kelantan memperlihatkan banyak persamaan dengan patung-patung wayang dari Patani. Ia dilukis dan dibentuk dalam posisi mengiring dan kebanyakkannya berdiri di atas kenderaan seperti naga, ular dan buaya. Kemudiannya, hanya tangan bahagian hadapan sahaja yang boleh digerakkan, sama ada sambil memegang senjata atau alat kebesaran lain. Bagi wayang Gedek pula, patung-patung wayang yang digunakan adalah bersaiz lebih kecil (Nang Lek) dan dilukis serta dibentuk dengan bercirikan pengaruh Nang Talung. Hanya patung-patung wayang kulit Gedek (tidak semua) yang boleh dilihat dibentuk dengan posisi menghadap ke hadapan (profile) watak wanita khasnya.

Terdapat pelbagai jenis wayang kulit di Malaysia, walaupun ia hanya dibahagikan kepada empat jenis yang utama. Ia dibezakan melalui pelbagai aspek dan dipercayai dibawa masuk ke Malaysia melalui pelbagai cara dan menyimpan sejarah yang tersendiri. Namun apa yang paling ketara ialah ia sebenarnya adalah suatu kesenian yang sama yang disebarkan ke pelbagai tempat yang memiliki adat dan budaya tersendiri, kerana itulah wujudnya perbezaan antaranya seiring dengan selera penonton dan perkembangan semasa dan agama serta adat yang wajar dipatuhi dan ditaati.

No comments:

Student's Life ~ Music ~ Art ~ It's Just My Simple Life

Student's Life ~ Music ~ Art ~ It's Just My Simple Life
It's me...